Monday, February 25, 2008

Kegagalan??

Kegagalan??
Kenapa kita mesti memikirkan kegagalan? Kenapa kita tidak memikirkan kecemerlangan??
Sebagai seorang manusia, kegagalan pasti akan dialami dan dirasai oleh semua individu termasuklah pelajar. Naluri manusia yang sebenar sememangnya mahukan kesempurnaan dan hakikatnya Tidak ada satu manusia pun yang akan sampai ke tahap kesempurnaan melainkan Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, janganlah kita berfikir untuk mencapai ke tahap kesempurnaan cukuplah berfikir sekadar ke tahap yang cemerlang.
Kerana adanya kegagalan kita berusaha memperbaiki diri. Kerana kegagalan juga mengajar kita erti keperitan, kesedihan , kepayahan dan kekecewaan. Allah menciptakan manusia dengan pelbagai perasaan supaya kita merasai kesemuanya. Sekali gagal tidak bermakna akan gagal buat selamanya. Frasa tersebut sering kali kita dengar dan sering kali kita jadikannya sebagai inspirasi. Kita seharusnya ingat, setiap kegagalan yang kita lalui memberi kita peluang untuk berjaya pada hari-hari yang berikutnya dan percayalah, setiap kegagalan atau musibah yang menimpa diri ada hikmah disebaliknya.
Sebagai contoh, kegagalan di dalam peperiksaan atau ujian bagi sesetengah pelajar memberi impak yang besar dalam kehidupannya. Jika pelajar tidak dapat mengawalnya, tekanan akan menguasai diri dan pelbagai penyakit yang berkaitan dengan perasaan akan timbul. Bagi sesetengah pelajar pula, kegagalan merupakan sesuatu perkara biasa bagi mereka. Mereka tidak mengenal erti kecemerlangan dan mereka tidak sedikit pun mahu berusaha kearah itu. Golongan seperti ini perlulah diberi pendedahan dan motivasi yang berkesan bagi mengubah cara hidup dan pendirian mereka yang sentiasa goyah dan mudah rapuh.
Kegagalan yang dialami perlulah diselangi dengan kejayaan. Kita tidak seharusnya menjadi manusia yang terkenal dengan kegagalan. Sekali lagi ditekankan, janganlah kita mengulangi kegagalan yang lampau kerana kita diberikan akal untuk berfikir dan memperbaiki kesilapan. Satu contengan di atas kertas putih pasti akan dapat dipadamkan dan kejahatan yang kita lakukan selama ini sudah pasti akan dilupakan sekiranya ditutupi dengan kebaikan. Kenal pasti faktor atau punca kegagalan dan seterusnya buat penilaian dan jika memerlukan bantuan, cuba usahakan untuk mendapatkan bantuan. Kikis sifat malu bertanya untuk kebaikan dan semai sifat ingin tahu atau inkuiri dalam diri untuk menjadi pelajar yang sentiasa di hadapan.
Allah menciptakan manusia denagn penuh keistimewaan. Oleh itu janganlah kita memirkan kegagalan sedangkan kejayaan masih lagi ada. Kejayaan merupakan satu penyelesaian bagi kegagalan. Sebagai manusia kita harus tahu cara untuk mendapatkan kejayaan tesebut.

Tanpa ujian hidup ini tidak indah.

0 comments: