Monday, February 25, 2008

Usaha yang Maksimum

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa usaha, tiada usaha tiada kejayaan. Kehidupan sebagai seorang pelajar memang memerlukan daya usaha yang tinggi bagi merealisasikan impian dan menempuh ujian.
Usaha yang dilakukan perlulah setimpal dengan hasil yang akan dikeluarkan. Sebagai contoh, seorang petani menanam tanaman sekadar untuk keperluan diri dan keluarga, maka tanaman mereka tidak mungkin dapat dipasarkan dengan kuantiti yang banyak kerana petani tersebut hanya berusaha untuk mengeluarkan hasil tanaman sekadar yang termampu untuk menyara hidupnya dan keluarganya.
Begitu juga dengan seorang pelajar, sebagai contoh, sekiranya kita ingin mendapat keputusan 8A di dalam peperiksaan PMR, kita perlulah berusaha kearah itu. Jika usaha kita sekadar melepaskan batuk di tangga, kemungkinan besar 8A yang diimpikan akan menjadi 8E.
Usaha yang kita lakukan perlulah berterusan dan istiqamah dalam melakukan apa-apa juga pekerjaan. Kadang kala usaha yang kita lakukan tidak membuahkan hasil dan mengecewakan kita. Usaha yang kita lakukan selama ini hanyalah penat dan lelah. Pepatah Melayu ada menyebut, pantang menyerah sebelum berperang. Jangan sesekali kita berputus asa. Tingkatkan usaha dan terus mencuba. Insya-Allah, segala penat lelah kita selama ini akan terbalas dan kita akan berasa gembira apabila usaha kita selama ini membuahkan hasil.
Usaha di dalam pengorbanan bermaksud, upaya kita untuk melakukan perubahan atau meninggalkan sesuatu yang tidak dapat kita ditinggalkan. Dalam konteks pelajar, antara pengorbanan yang boleh kita lakukan ialah, bangun pada awal pagi dan mengorbankan masa waktu tidur kita untuk mengulangkaji pelajaran. Selain itu juga, pelajar juga perlulah berusaha untuk meminimumkan perbuatan yang boleh melalaikan kita sebagai pelajar untuk belajar. Sebagai contoh, mengurangkan bermain permainan video atau computer, menonton televisyen atau mendengar radio dan lain-lain lagi. Tinggalkan perkara-perkara yang dirasakan tidak berguna dan cuba usahakan untuk tidak bergaul dengan rakan-rakan yang boleh membawa kita kearah keburukan.

0 comments: