Wednesday, February 27, 2008

Keluarga Tercinta Pembakar Semangat

Keluarga merupakan orang yang terdekat dengan kita. Di situlah tempat kita mengadu, berlindung dan sebagai tempat kita melepaskan rindu. Sebenarnya, keluarga memainkan peranan yang begitu banyak dalam kehidupan pelajar. Walaupun kita hanya mempunyai keluarga angkat atau kita hanya menumpang kasih pada keluarga tiruan, sedarlah bahawa merekalah yang telah menjaga kita, bersusah payah untuk kita dan berusaha memenuhi hasrat kita. Oleh itu, hargailah keluarga yang kita ada. Selama mereka masih ada, sayangilah mereka dan terimalah mereka seadanya. Tiada yang lebih bermakna daripada keluarga.
Ibu bapa merupakan ahli dalam keluarga. Bapa sebagai ketua, ibu sebagai pembantunya. Menjaga perasaan dan hati mereka merupakan tanggungjawab seorang anak. Menjadi tanggungjawab seorang anak membantu ibu bapa di dalam kesusahan. Bagi pelajar yang mempunyai adik, abang atau kakak, mereka semua merupakan teman rapat kita. Kita melepaskan geram pada mereka, berkongsi makanan dengan mereka dan ada kala mereka menjadi tempat meluahkan masalah. Memang kita tidak merasai kehadiran mereka di sisi kita pada waktu sekarang tetapi suatu hari nanti kita akan berasa kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup. Kenangan pahit dan manis bersama keluarga ditempuh bersama.
Walaupun keluarga kita tidak dapat memberi kita pendidikan yang cukup, tetapi jauh di dasar hati mereka untuk membiarkan kita terbiar tanpa ilmu. Bagi ibu bapa yang berada, mereka mungkin boleh menghantar anak mereka ke sekolah berasrama atau ke pusat-pusat tuisyen. Bagi ibu bapa yang tidak mampu membiayai perbelanjaan anak-anak, tanggungjawab kita sebagai anak perlulah memahami kedudukan keluarga kita dan kemampuan kita. Kita perlulah pandai mencari peluang yang disediakan di sekolah. Jadilah orang yang ‘opportunist’. Jangan kita merebut peluang dengan cara yang salah atau kepada perkara-perkara, kita lebih khususkan dalam pencarian ilmu. Sebagai contoh, menggunakan khidmat guru dan menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan disekolah. Perbincangan bersama rakan juga dapat menjadi penyelesaian bagi kita. Memang berkata itu mudah daripada melakukan tetapi jika kita inginkan kejayaan, kita mampu melakukan apa sahaja demi untuk mencapai kejayaan tersebut.
Berbalik kepada keluarga, tiada yang sehebat keluarga, dan tidak mungkin kita akan mendapat semula keluarga yang selama ini menjadi tulang belakang kita untuk berjaya jika mereka tiada lagi di dunia ini. Kehilangan seorang ahli keluarga sudah cukup membuatkan kita menangis aptah lagi kehilangan seluruh anggota keluarga.
Kita haruslah bersyukur kerana mempunyai keluarga. Ramai sahabat kita yang di luar sana tidak dapat merasai kasih sayang keluarga. Hargai mereka selama masih ada.

0 comments: